cerpen
sedutan novel
Memoir Ayahanda
MONOLOG
sajak
resepi
cerpen
WACANA MALAM MERDEKA
Dia memang mahu jadi juruwarta tetapi bukan juruwarta semacam ini. Bukan juruwarta yang hanya mengembar-gempurkan pesta dan yang memuji hiburan. Ceh, bukan! Niatnya adalah mahu menyampaikan makalah benar, menghebah wacana pembuka minda.
Malangnya, malam merdeka itu, sekali lagi dia harus membuat liputan tentang Pesta Sorakan Merdeka. Pesta yang pastinya dipenuhi nyanyian, tarian dan jerit-pekik yang entah apa-apa. Langsung tidak melambangkan kesyukuran tanda terbebas dari penjajah selama 51 tahun ini. Langsung tidak ada!
Sorak-sorai serta laungan keriangan membingit di gegendang telinga tatkala dia menjejakkan kaki ke tapak peristiharan. Dia telah di ingatkan oleh pihak kantor, agar pulang dengan berita dan foto-foto sambutan kemerdekaan. Namun jauh di sudut hatinya, dia telah membulatkan pendirian. Satu keputusan berani yang tidak tergoyah lagi. Dia tak akan menulis lagi tentang pesta itu atau tentang luahan kata anak-anak merdeka yang menyambut pesta. Tidak, dia sudah bosan!
Dia mahu mencari sesuatu yang istimewa. Dia ingin mencari kelainan. Sesuatu yang membina minda. Sesuatu yang persis wacana pembuka minda. Wacana yang memberi erti sebenar tentang kemerdekaan.
Matanya meliar ke kiri dan kanan. Perilaku anak-anak muda di malam pesta itu menyesakkan mata. Ada yang terjerit-jerit, ada yang terkinja-kinja dan ada juga sepertinya ,meninjau-ninjau sambil tersengih. Macam kerang busuk! Ramai yang duduk berpasang-pasangan. Rapat-rapat pulak tu.
Tiba-tiba dia telihat kehadiran seseorang. Kedut serta urat-urat kental yang menggarisi wajahnya menampakkan garis duka. Tiada sebaris senyuman pun di bibirnya. Dia berjalan lambat-lambat menghampiri lantas melabuhkan punggung di sebelah kirinya. Dia menoleh, rasa hairan dan takjub menerpa memenuhi kotak fikiran.
“Hai orang tua, takkanlah kau juga mahu berpesta?” Getus hatinya. Lama dia menatap wajah yang penuh kedutan di sebelahnya itu. Dia membuka mulut, mengatur ayat penuh sopan buat orang tua itu. Namun tiada sebarang reaksi yang diberikan oleh orang tua. Dia bertanya lagi,
“Pakcik menunggu anakkah?”
Bungkam.
“Atauuu...Pakcik pun suka dengan pesta ini?”
Diam. Dia kematian kata.
“Abang, mahu air, bang? Macam-macam air ada” Seorang anak gelandangan yang menjual air tiba-tiba menyapa santai. Lalu anak yang comot itu juga duduk di sebelah juruwarta.
“Ayah abangkah ni?” Riang sahaja si anak gelandangan memulakan bicaranya.
“Bukan” Pendek cuma jawapan juruwarta.
“Ooo..…Emmmm, abang ada ayah?” “
“Sudah tentulah ada. Ayah abanglah sumber inspirasi abang”
“Bertuahnya abang! Saya…saya...tak pernah kenal pun siapa ibu bapa saya. Saya cuma kenal Haji Uda, Imam masjid di mana saya selalu menumpang teduh.” Kedengaran nada kekecewaan dalam riang suara anak gelandangan. Orang tua hanya menggeleng. Kesal mungkin.
“Pemuda hari ini….ah, malang pemuda hari ini…” Orang tua mula berbicara. Juruwarta dan anak gelandangan tertoleh kagit, menanti butir kata seterusn
“Bukan seperti pemuda dahulu, pemuda di zaman susah!”
Juruwarta itu tersenyum. Ini dia, mungkin inilah apa yang dicarinya, wacana pembuka minda. Juruwarta itu cuba memulakan wawancaranya secara santai.
“Apa maksud pakcik? Apakah belia hari ini berbeza dengan yang dulu?”
Ada senyum tipis terukir di bibir tua itu. Sinis. Anak gelandangan langusng tak jadi bangun untuk menjual airnya, tertarik mungkin dengan gelagat kedua orang asing yang berada di sisinya itu.
“Uhhh….lihatlah itu, penyanyi hari ini, menyanyikan lagu-lagu yang melalaikan saja. Mengaku sebagai penyair, penghibur konon! Tetapi mereka lupa malah tak kenal pun pada penyair agung, Abdullah Ibnu Rawahah. Mereka dangkal dengan tujuan syair” Tenang namun keras tutur kata orang tua.
“Siapa dia, Atuk?” Pantas si anak gelandangan bertanya ketika di mana seorang penyanyi seksi menyambung pesta dengan lagunya.
Orang tua itu merenung jauh seakan mengingati sesuatu. “Ketika itu, tentera Romawi sudah memenuhi medan Muktah. Mereka begitu ramai. Hampir dua ratus ribu orang tentera kafir yang bengis berdiri gagah memenuhi segenap ruang Muktah.” Lambat-lambat orang tua itu mengatur bicara. Juruwarta kelam-kabut, mana pula pena dan buku notanya. Baik nasibnya, pen dan buku berjaya dijumpai sebelum orang tua menyambung cerita.
“Kami, tentera Islam pula terlalu sedikit bilangannya. Hati aku dan teman-teman mula digigit gusar dan gugup. Namun, kami tetap berdiri teguh di barisan kami. Tiba-tiba terdengar satu suara melaungkan - Hantarkan khabar pada Rasullullah! Tambahkan anggota Islam! Begitulah cadangan yang dapat aku dengar. Ibnu Rawahah lalu bingkas bangun, lantas bersyair......” Orang tua tambah semangat, dengan suara garau yang hiba dia bersyair.
“Demi Allah, sesungguhnya kita berjuang melawan musuh-musuh. Majulah wahai saudaraku. Nescaya kita akan menerima salah satu di antara dua, yakni kemenangan atau syahid!”
Terpegun juruwarta mendengar alunan syair yang sungguh meruntun hatinya. Anak gelandangan cuma menanti penuh minat. Keadaan di pesta makin gamat. Terdengar bunyi kecoh di penjuru kiri. Ada anak muda bergaduh rupanya. Orang tua menggeleng lagi, Juruwarta terikut sama.
“Setelah syair itu, Ibnu Rawahah dendangkan, api perjuangan kami makin membara. Kami terus maju ke hadapan, menghadapi tentangan kaum kafir Romawi. Zaid Ibnu Haritsah, dengan tangkasnya mengenderai kuda sambil menjulang panji-panji kebesaran Islam. Bergemerincinglah bunyi pedangnya berlaga dengan musuh, namun....namun...” Payah orang tua meluahkan butir katanya. Dalam getar suara, dia menyambung
“Namun....sudah sampai janji Allah. Zaid pergi....Gugur sebagai syahid!” Ada air yang berkaca di birai mata orang tua itu, jelas menampakkan kesebakannya. Dia tunduk. Lama. Hingga bungkam sejenak suasana.
“Malang...” Sungutnya lagi, mengeleng-geleng dengan kesal. “Malang anak muda hari ini. Mereka lupa perjuangan dulu! Lupa jerit perih lampau! Lupa derita dijajah! Lupa semuanya!!!” Tiba-tiba orang tua menjerkah kuat.
“Hoi!” satu suara menbalas kasar. “Ah, jangan cuba berhujah pula orang tua sewel! Hik! Tunjuk alim konon! Pedulikan dia, mari kita enjoy lagi! Merdeka! Hik...hik...” Anak muda yang kian hanyut ditelan modenisasi.itu menjerit nyaring.
Juruwarta hanya memerhati. “Beginikah makna Merdeka bagi anak-anak muda seperti kalian?” Bisik hati kecilnya memprotes lalu menulis di atas buku kecil. ‘Anak muda berpesta hingga pagi, merdeka dengan kebebasan untuk berdansa, berpoya-poya dan berdua-duan. Merdeka dengan bebas tanpa bebelan ibu di rumah.
“Jaafar?” Tiba-tiba orang tua itu menutur lagi. Seolah bercakap pada diri sendiri atau seperti cuba mengingati sesuatu atau seseorang mungkin.
“Ya, memang dia. Jaafar lantas segera menyambut panji-panji Islam agar tidak jatuh mencium bumi. Maka, menari-narilah pedang Jaafar menghunus tentera Romawi. Akhirnya, Jaafar terkepung....Masyallah! Tangan kanannya dilibas, terkulai seketika, berayun-ayun lalu jatuh kebumi. Jaafar....sahabatku! Kau terkepung, dihujani panahan busur, dihentam tikaman pedang. Akhirnya, Jaafar jua pergi menemui Allah yang Esa. Aku amat sedih...kecewa...manakala yang lain sudah mula hilang semangat. Kami keletihan. Namun, di saat getir itulah Abdullah Ibnu Rawahah kembali mengukuhkan jiwa kami….” Orang tua terhenti bercerita.
Juruwarta menoleh, tertanya mengapa dia berhenti berkisah? Rupanya menanti anak gelandangan menjual air kelapa kepada seorang anak muda yang sudah pening-pening lalat bahana air tapaian kebanggaan iblis.
Anak gelandangan kembali duduk dengan segera, seolah tidak sabar untuk mendengar ceritera seterusnya. Senyuman manis menghiasi bibirnya seperti memujuk orang tua supaya menyambung kata.
“Abdullah Ibnu Rawahah...” Bisik orang tua itu. “Syairnya bergema ke seluruh alam. Itulah syair terakhirnya di alam fana ini namun aku pasti, benar-benar pasti itulah syair dendangan yang menjadi penyambutnya di alam baqa’. Orang tua mula melagukan dengan sayu dan pilu.
Aku telah bersumpah wahai diri,
Untuk maju ke medan jihad,
Tetapi mengapa ku lihat engkau wahai diri,
Engkau seolah menolak syurga..
Wahai diri, kalau pun engkau tewas di medan juang,
Sesungguhnya syahidlah engkau,
Tibalah masanya apa yang engkau impikan,
Ikutilah jejak mereka berdua…”
Sebak lagi di hujung suara orang tua. Payah benar jiwa tatkala mengenang perjuangan penuh suci itu. Dia menyapu air yang mula menuruni lurah pipi. Juruwarta juga tertunduk kesenduan. Anak gelandangan pula tertegun tanpa kata dan komentar. Keduanya amat tersentuh dengan syair Abdullah Ibnu Rawahah.
Sekumpulan gadis sebangsa melintasi di hadapan mereka. Berpakaian ketat yang sendat sambil berlumba-lumba menghembus asap rokok. Bangga barangkali. Juruwarta menjuih bibir. Huh, macam naga!
“Bang, saya harus pulang dulu!” Anak gelandangan pinta izin pergi, mematikan lamunan si Juruwarta.
“Eh, mana pulak orang tua itu?” Terkejut Juruwarta apabila menoleh ke sebelah dan mendapati kelibat orang tua itu sudah tiada orang tua lagi.. Juruwarta bingkas meninjau-ninjau. Hairan campur hampa.
“Ceritanya belum tamat,” Keluh Sang Juruwarta.
“Abdullah Ibnu Rawahah juga menjenguk syurga hari itu, bang”
Juruwarta kaget. ”Bagaimana kamu tahu? Kamu kan hanya gelanda…...” Tak dihabiskan ayatnya itu, bimbang mengguris hati anak kecil yang berada di hadapannya.
“Ya...saya cuma anak gelandangan, anak terbuang, .tanpa ibu-bapa tersayang tapi saya sering juga mencuri-curi dengar syarahan Haji Uda di masjid.” Juruwarta bagai tertampar, malu pada diri sendiri. Bergelandangan tidak semestinya kemarau ilmu.
Malam sudah larut benar. Baru sebentar tadi di umumkan “countdown” kemerdekaan sudah selesai. Pesta telah tamat. Di langit, percikan bunga api menerangi alam semesta. Suara orang ramai gegak-gempita. Semuanya berwajah keriangan melihat pertunjukkan bunga api. Rata-rata pengunjung tidak sudah-sudah menjerit, Merdeka! Merdeka! Dan Merdeka!
Juruwarta juga turut bangun, menyapu punggung dari debu dan cebisan rerumput. Dia mahu pulang. Di wajahnya tergambar kepuasan. Dia senyum senang. Malam ini dia benar-benar puas.kerana apa yang dicari telah ditemui. Dia inginkan kelainan. Telah lama dia dambakan sesuatu yang bisa melakarkan kisah kemerdekaan dari visual berbeda. Wacana ini benar-benar wacana yang membuka mindanya. Dan kenalan baru? . Ya, anak kecil yang bergelandangan ini. Siapalah yang pedulikan akan nasibnya. Seorang anak pasca merdeka yang terjajah dalam kemiskinan dan keciciran.
Jiwa sang Juruwarta bergelodak. Keliru campur terharu. Di ruang tamu rumah, sekembali dari pesta, jari si juruwarta membeku. Skrin komputer terpasang tanpa dapat disentuhnya.
Juruwarta mengeleng-geleng. “Siapakah orang tua tadi?”
“Roh...atau...tak....mungkinnnn...mustahilll” Jiwa Juruwarta berkecamuk. Perkataan aku dan kami yang dilontarkan oleh orang tua itu benar-benar mengganggu fikirannya.
“Ajaib kan abang? Kenapa ada ‘aku’, ‘kami’? Sedangkan peperangan itu beratus tahun lampau. Iaitu sewaktu mula berkembangnya Islam. Masa itu Rasullulah masih berjuang menyampaikan wahyu-Nya.” Anak gelandangan turut melahirkan kehairanannya.
“Ajaib...ajaib...tapi mungkin ia memberi makna buat abang dan pastinya amat-amat bererti bagi diri saya” Anak gelandangan membuat konklusinya.
Juruwarta tersenyum apabila mengingati ungkapan anak kecil itu. Anak yang terang mata hatinya. Dia kembali merenung skrin komputer. Jari-jemarinya mula bergerak-gerak - Wacana Malam Merdeka - si Juruwarta menaip dengan jelas.
Abdullah Ibnu Rawahah, Zaid Ibnu Haritsah dan Jaafar, apakah ada lagi pemuda seperti mereka di zaman milenium ini? Apakah masih ada yang sanggup berjuang demi agama yang dijunjung tinggi, demi bangsa yang dicintai dan demi negara yang dinaungi?
Nukilan 100% oleh Nur Fatien Atiqa bt Mohd Jamal, SERATAS, 2008
sedutan novel
MENOLEH
1
PERUMAHAN MEWAH PERMAI
Dingin bagai salju. Dia membungkus diri dengan 'sweater' pemberian ayahnya ketika pulang dari London tempohari. Rumput tempat kaki berpijak masih basah dengan embun. Pagi suram, mendung tanpa kelibat matahari.
Kabut masih menyelubungi sekitaran. Damai dan tenang menyelinap di sanubari. Abraham sangat sukakan suasana yang nyaman begini. Pagi yang dingin dan tenang amat menyenangkannya. Dia suka berjalan di dalam kabus yang tebal menyelimuti lereng bukit kawasan perumahan mewah itu. Dia senang meraba rambutnya yang basah dititik air dari kabus.
Pemandangan hijau dengan Rhu dan rerumput mengirangkan. Dia terus berjalan menikmati keindahan pagi. Kesegaran yang dirasai membahagiakan. Abraham selalu memuja pagi yang basah.
"Pagi......bertambah berseri bila ada bunga-bunga cantik!" Gumannya sedikit tersenyum. Hayunan kakinya terhenti. Di hadapan, satu demi satu langkah diatur oleh sepasang kaki yang berjalan anggun.
"Kuliah?" Tegurnya. Gadis itu mengangguk.
"Tidak dihantar?"
“Siapa......kau?"
Abraham tergelak. "Anak manja..." Usiknya. Kaki itu terus melangkah. Abraham mengekori.
"Jam berapa pulang?"
"Seperti biasa...bila sudah petang." Sahut gadis itu selamba.
"Mana 'sport'?"
Ida menoleh. “Dipinjam Ibu"
"Aii.? Mana Honda Accord dia?”
"Dipinjam Usu"
"Ooo...syarikat pinjam-meminjam rupanya." Abraham ketawa.
"Mengejek?" Ida sedikit menjeling sambil duduk atas bangku pondok bas.
"Ke mana Usu pergi dengan 'Accord' tu ?"
Ida tertoleh, sedikit membelalak. "Apasal kau ni. Pagi-pagi dah jadi mata-mata gelap!"
"Boleh aku hantar kau?" Abraham tidak mengendahkan amarah gadis itu.
"Terima kasih. Aku tak lapar 'BMW' kau tu"
"Sememangnya aku tak suruh kau makan 'BMW' aku." Abraham turut duduk. "Ah, sudahlah, pagi yang sejuk ni pun kau nak panas. Come on, girl"
"Aku pergi dulu" Ida bingkas bila melihat bas datang.
"Bye…Ida" Abraham masih mengusik.
Gadis itu pergi tanpa pamit namun Abraham tetap senyum girang dapat bertemu dengan bayangan pujaannya itu.
"Anak manja..." Desisnya. "Besar dalam kasih-sayang yang melimpah-ruah. Kebendaan, kecantikan ..apalagi..semuanya dah jadi milik dia"
Abraham duduk bersantai di bangku tempat menanti bas. Seketika kemudian dia bangkit untuk berpatah balik ke perumahan Permai. Lambat-lambat dia melangkah mendaki lereng, masih menghayati alam sekitaran yang pucat.
Tika sampai di hadapan sebuah rumah yang berhalaman luas, dia menoleh. Matanya merenung tajam rumah yang bercat putih, tersergam berkembar dua dengan sebuah rumah lain. Bahagian tingkat atas rumah itu amat menarik dengan ukiran tiang Kolonial British dengan dihiasi jaluran kayu dinding. Di sudut kiri bahagian depan rumah itu, Abraham tahu di situlah terletaknya kamar Ida. Kamar tidur yang menurut teman-teman gadis yang lain amat cantik dan ekslusif. Dari jendela sisi, pemandangan lereng serta lembah yang menghijau dapat dilihat.
Kamar yang seluruhnya diwarnakan dengan biru muda, canggih dengan sebuah 'interkom', sistem keselamatan dan sebuah jam besar yang sentiasa memberitahu setiap sejam. Sebuah telefon dan sebuah ‘Hi-fi’ yang besar. Sementara di satu sudut televisyen jenis LCD Samsung di gantung rapi. Aturan perabutnya amat mengkagumkan. Begitulah yang Abraham dengar.
Gadis itu dibelai dengan penuh kemanjaan dan kemewahan oleh ibunya, seorang Pensyarah Pendidikan Jiwa di UM. Ida dikatakan tidak pernah mengenali siapa ayahnya kerana Ida hanya dibesarkan dalam asuhan ibu, ibu saudara serta nenek. Tiga wanita yang amat menyintainya.
Abraham tercenung. "Entahlah.." Keluhnya mengingati beberapa cerita tentang Ida yang didengari dari mulut emaknya sendiri.
Anak gadis yang cantik manis itu dikatakan hanyalah anak susuan kepada Puan Delina sedangkan kedua ibu bapa kandung telah lama meninggal dunia. Juga dikatakan Puan Delina amat mengasihi Ida setelah dia sendiri dikhianati oleh bekas suaminya sendiri yang melarikan dua orang anak mereka. Seluruh penghuni Permai tahu bagaimana Puan Delina memperuntukkan sebahagian besar pendapatannya buat satu-satunya permata hati yang amat disayangi.
Melalui ibunya juga, Abraham dapat tahu bahawa Puan Delina menyusui sendiri Ida sehingga Ida meningkat usia empat tahun.
"Ah...alangkah bertuahnya dia.”
Meski pun dimanjai tetapi Ida dikatakan diasuh dengan baik. Pelajaran agama dan akademik amat dititik-beratkan. Kini dia adalah siswi dalam jurusan Sains Komputer.
Memoir Ayahanda
akan tiba paparannya..insya allah
MONOLOG
MONOLOG 1
Mereka panggil aku cerpenis. Mereka kata aku novelis. Tapi biar pun cerpenis atau novelis bilis, aku tetap manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Mungkin benar, aku cerpenis biar pun kecil jadi apa salahnya aku menulis khusus buatmu dari hati dan kasih yang murni.
MONOLOG 2
Yang, Allah mengurniakan aku dengan bakat menulis makanya diri ini akan selamanya menukilkan tentang Mu…tentang wajahMu…tentang kasih ini….yang tidak pernah terpadam!
MONOLOG 3
Tika ku buka pintu kamar
Terasa ada senyuman di bibir jenang
Lantas kehangatan nya langsung menyerbu ruang
Penuh dengan rasa mesra yang cinta
Seolah ada bahgia kan muncul membawa ketawa…
Seketika….ya mungkin hanya sesaat dua..
Menerjah kembali senandung hati yang bisu
Yang merekah dari bilah-bilah jiwa
Lalu bertelekan diam termenung
Selautan rindu sentiasa menderu-deru
MONOLOG 4
Tiba-tiba saja wajah itu mengimbau di ruang mata. Tiba-tiba! Entah mengapa tergambar jelas kerling matanya, senyuman manisnya dan amarahnya. Paling kuingat lesung pipit itu serta perpisahan kami yang agak tragis. Saling membawa hati yang hancur. Saling tuduh menuduh namun jauh di sudut sanubari masih terlekat lagi secebis sayang. Dia pergi begitu mendadak. Dan aku memang merelakannya. Setelah dia tiada, sejenak aku riang kerana aku merasa bebas. Tetapi seketika kemudian aku tersedu. Masih terbekas di ruang hati akan kasih sayangnya. Masih tergambar di ruang mata perhatian dan tunjuk ajarnya. Ku tahu dia begitu mengasihi diri ini tetapi seperti biasa aku tidak betah berlama-lama dengannya. Aku harus memilih jalan hidupku sendiri. Paling penting memilih jodoh ku sendiri. Sampai kapan harus aku dimanjai dan dibelai. Nanti aku bakal lahir jadi gadis yang memberontak. Paling-paling tidak mengerti apa-apa.
Kini sudah hampir bertahun-tahun kami berpisah. Berpisah tanpa apa-apa utusan. Kami kembali ke daerah masing-masing. Sekembali ku ke perdesaan tercinta maka terputuslah hubungan kami. Aku tak bisa mengutusinya kerana aku merasakan itu tidak perlu. Masih terngiang-ngiang kata-katanya yang menusuk kalbu, kata-kata yang terus-terusan membujukku. Waktu itu aku cukup marah ditegur-tegur. Aku cukup benci diladeni. Aku nekad. Nokhtah!
sajak
H I L A N G
BIAR AKU HILANG HARGA DIRI
YANG DIBAKAR OLEH PANAH AMARAH
BIAR AKU HILANG SEGALA PENGORBANAN
YANG SESAAT BAGAI BAYU BERTERBANGAN
BIAR SELURUH ALAM MENYAKSIKAN
DIRI TENGGELAM DALAM LAUTAN TANGISAN
MELEPAS EGOIS MELERAI KEDEGILAN
MELONTAR SEMUA KEBEKUAN JIWA
HANYA KERANAMU
KERANAMU
YANG TAK BISA KULUPAKAN
YANG TAK RELA KU KEHILANGAN
DAN YANG TAK MUNGKIN AKU MELUPAKAN KETIADAAN MU..
Desa bakti, 1989
W A J A H
Satu wajah yang mendung
Mengontai jiwaku
Mengoncang rasa sendu
Wajah aneka warna
Menjadi skrin yang membeliti
Membelenggui kotak fikiran
Bagai belati
Membelah rasa kesempurnaan
Wajah
Yang tak bisa ku lupakan
S e l a m a n y a
Batu uban, 1990
CORETAN PERPISAHAN
Tika berita singgah di gegendang telinga
Warkah di warta tanda keberangkatan
Antara terkejut dan tergaman
Apa benarkah perkhabaran ini?
Namun kerelaan mengiringi pemergianmu
Walau berat ditanggung hati
Terasa sendu mengamit diri
Jika mampu, kata hati - seakan ingin menongkah cerita
Tetapi….ku akur
Takkan mungkin bisa merubah kronologi perpisahan
Cikgu,
Biarpun sebentar cuma kesempatanmu di sini
Untuk meloret disiplin menjana ilmu
Kau tetap gagah berbekas dalam lipatan ingatan kami
Cikgu,
Kau cetuskan akar semangat kami
Kau cantas dahan-dahan kemalasan
Kau bersihkan rona dan onak penghalang
Kau meredah api kenakalan kami.
Hingga terpadam kesuraman
Hingga terhapus warna kekelaman
Cikgu,
Coretan yang terbaris ini
Punya lirik dan melodi syahdu
Yang mengalunkan erti kesedihan
Tanda perpisahan berlainan langkah
Kalungan amanat dan rantaian nasihat mu
Akan kami tempa menjadi permata hati
Agar sentiasa menghiasi kamar hidup kami
Cikgu,
Jauh di mata
Dekatlah di hati
Selamat berangkat
Selamat menempuh perjalanan baru
Bicara dan doamu
Kata azimatmu
Nasihat dan dorongan
Kasih dan sayangmu
Janji kami
Ikrar kami
Ingatan dan kecintaan
Kan menyatu………menjadi satu!
Dideklamasikan oleh : Nur Fatien Atiqa & Muhammad Salahuddin , 2007
TANAH PERTIWI- PANJI KEBEBASAN
Bisakah ku merenung,
bulan mengambang penuh syahdu,
Menghayati deruan ombak mengoda jiwa,
Mengutip flora dan fauna di kaki nusantara,
Atau….
Merdukah gema nyanyian kami menyambut keputeraanmu, Malaysia
Jika…
Langit hitam dek kepulan asap tembakan
Bumi ranap..….gersang kemusnahan
Anak watan merintih kelaparan
Api dan darah, di situlah kuburan
Ya…Tuhan…
Jauhilah kami dari azab penjajahan
Kemerdekaan…
Lima puluh dua tahun…
Di bawah panji kebebasanmu
Malaysia gagah menakluki dunia
Meneroka khazanah alam
Mengapai kecemerlangan
Inilah harga pengorbanan
Keberkatan dari Mu, Illahi
Itulah kedamaian yang hakiki…
Catatan – sajak khusus untuk dideklamasi pada hari kemerdekaan Malaysia ke 52 oleh Nur Fatien Atiqa, 2009
resepi
akan menemui pembaca tidak berapa lagi...tungguuuuuuu